LANGKAWI, 2 April- Pelbagai pengisian diusahakan bagi memastikan RTM terus menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Strategik Jabatan Penyiaran, Nasaruddin Abdul Mutalib, RTM sebagai 'Teman Setia Anda' membawa makna yang besar kepada semua.
Tambah beliau, RTM akan terus berusaha untuk disayangi dan menjadi kepercayaan rakyat Malaysia.
"Kita meraikan mereka untuk berbuka puasa di puncak Machinchang ini adalah satu simbolik bagi meraikan Sambutan Hari RTM yang ke-78 di puncak."
"Ia melambangkan bahawa RTM perlu sentiasa berada di puncak sebagai badan penyiaran terunggul di Malaysia," kata Nasaruddin kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa bersama asnaf sempena Sambutan Hari RTM ke-78 peringkat Langkawifm di puncak Gunung Machinchang, Langkawi, Kedah, malam tadi.
Sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari RTM, kira-kira 20 asnaf terpilih dalam daerah Langkawi dibawa berbuka di puncak Gunung Macinchang.
Antara pengisian lain ialah program kerohanian Cheq Tanya Ustaz Jawab bersama-sama Ustaz Harryanto Rizal Lokman dan moderator Ustaz Fakrul UNIC secara langsung di radio dan juga media sosial Langkawifm.
Bagi pengasas produk NESQ, Zambri Abu, ia adalah usaha murni RTM yang berkongsi kegembiraan bersama asnaf.
Tanggal 1 April setiap tahun merupakan Sambutan Hari RTM dan badan penyiaran utama negara itu kini sudah menginjak usia ke-78 tahun penubuhannya.