KUCHING, 28 November- Langkah penjimatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat bertepatan ketika ini.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata ia selaras dengan janji beliau dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15.
Katanya tindakan perdana menteri menolak pembelian kereta rasmi baharu dan mengubah suai pejabat, memperlihatkan langkah awal yang pragmatik.
"Rancangan yang terbaik dan tindakan yang terbaik amat dituntut pada ketika ini, adalah sesuai dengan janji atau aku janji yang terkandung dalam menifesto," katanya.
Menurut Jeniri, ketika negara berdepan dengan kemelesetan ekonomi dan kos sara hidup, kerajaan harus mempamerkan contoh sedemikian dalam usaha memulihkan ekonomi negara.
Dengan kerajaan perpaduan yang terbentuk hasil PRU ke-15, perdana menteri juga diharap melaksanakan manifesto mencakupi ketiga-tiga gabungan yang mendukung kerajaan perpaduan Persekutuan.
Ke arah menjamin semua inisiatif itu masyarakat dinasihati agar bersama memikul tanggungjawab bagi memastikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat dijayakan menerusi kerajaan perpaduan.
(Langkah penjimatan ke arah pemulihan ekonomi negara/Foto hiasan)