fb fb fb fb fb

Langkah iktiraf Palestin negara merdeka penting, pemangkin pembangunan Gaza

Foto AFP

JEDDAH, 8 Mac- Langkah mengiktiraf penuh Palestin sebagai sebuah negara merdeka perkara asas terpenting dalam usaha membebaskan rakyat negara itu daripada cengkaman rejim Zionis seterusnya membuka proses pembangunan semula wilayah Gaza secara mampan.

Dalam Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di sini semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan komitmen Malaysia adalah memastikan Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menjamin kedaulatan dan kemerdekaannya.

Mohamad berkata pengiktirafan Palestin bukan sahaja langkah berharga ke arah keamanan berkekalan malah amat perlu dalam menangani krisis kemanusiaan, membangunkan pentadbiran yang berfungsi serta memperoleh sokongan antarabangsa untuk usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza.

Malaysia juga dengan keras menolak sebarang usaha pengilhakan Gaza atau pemindahan paksa rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk membangunkan wilayah itu dengan mengusir penduduk ke negara jiran.

“OIC dan negara anggotanya perlu memberi keutamaan kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap negara Palestin sebagai matlamat utama dan usaha lobi strategik dan inisiatif diplomatik seperti Perikatan Global bagi Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara, bagi mempercepatkan laluan Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB perlu diperhebatkan,” katanya.

Sesi luar biasa itu turut menyokong cadangan balas yang dikemukakan Liga Arab sebagai tindak balas terhadap rancangan kontroversi Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza yang melibatkan pemindahan paksa kira-kira dua juta penduduk Palestin ke negara jiran.

Keputusan oleh blok yang dianggotai 57 negara itu dibuat tiga hari selepas Liga Arab meluluskan pelan alternatif pembangunan semula Gaza dengan nilai USD 53 bilion dalam sidang kemuncaknya di Kaherah pada 4 Mac lepas bagi menolak cadangan Trump.

Pelan alternatif pembinaan semula Gaza di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA), memastikan penduduk negara itu dapat kekal di tanah air mereka tanpa perlu dipindahkan yang merangkumi tiga fasa iaitu bantuan kecemasan, pembinaan semula infrastruktur dan pembangunan ekonomi jangka panjang.

Sementara itu, pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi berpandangan pengiktirafan itu secara prinsipnya memberikan Palestin hak sebagai entiti politik yang sah di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkuatkan kedudukannya dalam perundingan dan tuntutan undang-undang antarabangsa.

Dalam konteks pembinaan semula Gaza, beliau berkata pengiktirafan Palestin sebagai negara boleh membuka akses kepada lebih banyak bantuan antarabangsa, berunding sebagai entiti politik yang diiktiraf, serta mengurangkan risiko campur tangan Israel dalam proses pemulihan.

Bagaimanpun, Khoo berkata isu yang lebih mendesak ialah keengganan Israel dan sekutunya terutama AS, untuk mengakui hak Palestin walaupun lebih 140 negara telah mengiktiraf Palestin sebagai negara.

“Tanpa mekanisme kuat untuk menegakkan kedaulatan tersebut, pengiktirafan ini masih bersifat simbolik malah pendudukan Israel dan penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza akan berterusan.

“Selagi Israel masih mempunyai kawalan ke atas sempadan, sumber ekonomi, dan keselamatan di Gaza dan Tebing Barat, sebarang usaha pembinaan semula akan terus terdedah kepada ancaman ketenteraan Israel, sekatan ekonomi, dan ketidaktentuan politik,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut mengenai rancangan balas pembinaan semula oleh Liga Arab, Khoo berkata rancangan alternatif itu dilihat lebih mampan dari segi prinsip kedaulatan rakyat Palestin dan hak asasi manusia yang tidak hanya menolak naratif pemindahan paksa tetapi juga berusaha untuk mengekalkan hak rakyat Palestin ke atas tanah mereka sendiri.

“Justeru, bagi memastikan rancangan ini tidak menjadi sia-sia beberapa syarat perlu dipenuhi termasuk jaminan keselamatan antarabangsa iaitu melalui mekanisme antarabangsa seperti PBB atau penglibatan kuasa serantau untuk memastikan Israel tidak terus menyerang Gaza.

“Selain itu, sumber kewangan dan pelaksanaan bebas iaitu bantuan serta dana harus diberikan tanpa syarat politik yang boleh menjejaskan autonomi Palestin dalam membangunkan semula wilayah mereka, seterusnya tekanan global terhadap Israel menerusi sekatan ekonomi, boikot produk Israel, dan usaha diplomatik untuk menamatkan sekatan terhadap Gaza,” katanya.

Beliau berkata rancangan Liga Arab itu hanya berkesan sekiranya disertai dengan tekanan diplomatik dan strategi politik jangka panjang untuk memastikan Palestin mencapai kedaulatan penuh serta perlindungan antarabangsa yang lebih kukuh.

Tambah Khoo, pengalaman lepas menunjukkan setiap kali Gaza dibangunkan semula selepas serangan Israel, infrastruktur tersebut dihancurkan akibat tindakan ketenteran berterusan rejim itu seterusnya menggagalkan sebarang usaha pembinaan semula wilayah tersebut.

Pakar bidang hubungan antarabangsa itu berkata kelantangan Malaysia dalam krisis ini terutama dalam forum antarabangsa seperti PBB, OIC dan Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) boleh memainkan peranan membentuk tekanan diplomatik yang lebih besar.

Beliau berkata penolakan Malaysia terhadap sebarang bentuk pembersihan etnik atau pemindahan paksa itu, berfungsi menafikan naratif AS dan Israel yang cuba membingkai pemindahan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada 'rancangan pembangunan semula.'

“Di peringkat antarabangsa, Malaysia boleh memperkasakan peranan sebagai suara Global South yang menekankan prinsip keadilan, kedaulatan dan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

“Usaha Malaysia juga perlu disertai dengan tindakan lebih luas seperti menyokong sekatan ekonomi terhadap Israel, memperkukuhkan hubungan dengan negara-negara BRICS dan blok antarabangsa lain yang lebih bebas daripada pengaruh AS, serta meningkatkan tekanan melalui undang-undang antarabangsa, termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM