fb fb fb fb fb

Langgar SOP penganjur majlis, pemimpin politik dikompaun

KUALA LUMPUR, 14 Februari - Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan Putrajaya untuk mengeluarkan kompaun ke atas penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC yang diadakan di Stadium Educity, Iskandar Puteri semalam.

Kompaun dikeluarkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Turut berdepan tindakan kompaun, Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran.

Perkara itu diumumkan Khairy menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

"KKM akan terus memantau SOP sempena PRU Dewan Negeri Johor," katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi pautan sebuah portal yang memuat naik video majlis berkenaan.

Difahamkan, majlis itu bermula pada 5.20 petang dan dianggarkan 3,000 orang hadir ke majlis berkenaan.

Ini kali pertama pemimpin parti politik dan penganjur dikenakan kompaun bersempena PRU Dewan Negeri Johor yang akan diadakan pada 12 Mac.

 

Media Baharu