PUTRAJAYA, 28 Disember – Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2024 edisi ke-8, yang diadakan di sini, merupakan acara ikonik terbesar bagi meraikan Kepengerusian ASEAN Malaysia, tahun hadapan.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata festival tersebut berpotensi mempromosikan Putrajaya sebagai sebuah bandar pintar berteknologi tinggi serta destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
"Kami menggunakan teknologi terbaik untuk pemetaan ke atas bangunan, dan saya menyeru semua untuk hadir. Pelbagai segmen menarik disediakan, termasuk acara kemuncak pada 31 Disember bagi countdown ke tahun 2025, tahun di mana Malaysia akan mempengerusikan ASEAN. Ini adalah langkah permulaan bersama melalui LAMPU 2024," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pembukaan Festival LAMPU 2024, di sini pada Jumaat.
Tambah Fadlun, penyertaan pereka luar negara dalam festival tersebut membuktikan bahawa Malaysia semakin dikenali di peringkat antarabangsa, khususnya melalui penganjuran acara ikonik seperti LAMPU.