PUTRAJAYA, 30 Julai – Semua kementerian, agensi serta pejabat kerajaan diwajibkan memainkan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 bertajuk Malaysia MADANI Rakyat Disantuni sebagai usaha menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata arahan tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan strategik untuk membangkitkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil
“Lagunya berirama ala Malaysia, sangat merdu dan sedap didengar. Kita akan minta supaya ia dimainkan secara berulang-ulang di kaca televisyen, corong radio dan juga dalam acara rasmi – bukan hanya di Kementerian Komunikasi, tetapi juga dengan kerjasama kementerian lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Lagu berkenaan merupakan ciptaan Datuk Mokhzani Ismail dan gubahan komposer muda, Affan Mazlan, yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Lagu tema HKHM 2025 telah diperkenalkan secara rasmi buat pertama kalinya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Upacara Menaikkan Bendera Jalur Gemilang 2025 yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada Ahad lalu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata fokus kementerian ketika ini adalah memastikan segala persiapan sambutan HKHM berjalan lancar termasuk aktiviti turun padang, aspek keselamatan, persembahan, penyiaran dan acara rasmi.
Beliau turut menyeru seluruh warga kementerian dan agensi kerajaan untuk memainkan peranan dalam menyemarakkan semangat kebangsaan melalui komunikasi yang berkesan kepada rakyat.