
MEKAH, 4 Mac- Seramai 166 jemaah umrah di bawah kendalian Dhia Travel Sdn Bhd yang terkandas di Mekah dan Madinah sejak 28 Februari lalu dijadual pulang ke tanah air pada 7 dan 8 Mac ini.
- 166 jemaah umrah terkandas di Mekah dan Madinah susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan penerbangan.
- Semua jemaah dijadual pulang 7 dan 8 Mac naik penerbangan Saudi Airlines terus ke KLIA.
- Dhia Travel tanggung penuh kos RM415,000 dan jaga kebajikan, keselamatan serta sokongan emosi jemaah.
Kesemua jemaah dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Lembah Klang itu terkandas susulan konflik Asia Barat antara Amerika Syarikat–Israel dan Iran yang menjejaskan operasi penerbangan.
Pengarah Urusan Dhia Travel Sdn Bhd, Mohd Hidayat Mohammad berkata kumpulan pertama melibatkan 65 jemaah akan berlepas dari Lapangan Terbang Madinah pada pukul 2.00 pagi, 7 Mac ini.
Kumpulan kedua seramai 61 jemaah pula dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada pukul 10.00 pagi hari sama, diikuti kumpulan ketiga membabitkan 40 jemaah dari lapangan terbang sama pada pukul 2.00 pagi keesokan harinya.
Beliau berkata, penerbangan pulang yang pada awalnya dijadualkan pada 5 Mac terpaksa ditunda berikutan rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan berkaitan jadual dan harga tiket.
Jelas Mohd Hidayat, hasil perbincangan memutuskan kesemua jemaah akan menaiki penerbangan Saudi Airlines dari Jeddah dan Madinah terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kami akan memastikan aspek mental, emosi dan keselamatan kesemua jemaah sentiasa terjaga.
“Apa sahaja yang berlaku, kami menenangkan mereka dan memaklumkan supaya tidak bimbang kerana segala kebajikan serta keperluan jemaah di tanah suci akan dibantu sepenuhnya,” katanya.
Mohd Hidayat berkata kos keseluruhan tiket penerbangan pulang berjumlah RM415,000 ditanggung sepenuhnya oleh syarikat termasuk kos penginapan dan makan minum jemaah sepanjang tempoh terkandas.
Mengikut jadual asal, tiga kumpulan jemaah itu sepatutnya pulang pada 28 Februari dan 1 Mac lalu dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) yang dilaporkan mengalami kerosakan dipercayai akibat ledakan peluru berpandu.