LABUAN, 26 Jun- Labuan berpotensi diangkat sebagai pusat kegiatan ilmu dan budaya yang berpotensi berkembang ke peringkat serantau.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr Kasim Mansor menegaskan perkara itu pada Majlis Perasmian Pesta Buku Labuan 2025 yang berlangsung di Ujana Kewangan Labuan.
Beliau berkata program anjuran UMS itu bertujuan untuk meningkatkan budaya membaca dan memupuk minat terhadap buku dalam masyarakat.
Selain mewujudkan platform interaksi antara penggiat industri buku seperti penulis, penerbit, pengedar dan pembaca dari pelbagai lapisan masyarakat.
Program itu juga menggalakkan aktiviti penulisan berkualiti serta mengukuhkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, sekolah dan agensi kerajaan dalam usaha membina masyarakat berpengetahuan.
Sementara itu, pelajar, Nur Dania Rizqin Abdullah, yang hadir pada acara itu berkata, beliau teruja dengan pelbagai pilihan buku dan promosi yang ditawarkan.
"Yang menariknya, di sini banyak buku, banyak pilihan, promosi-promosi. Di sini (Labuan) juga jarang dilakukan. Ia boleh menarik minat pelajar-pelajar yang ketagihan gajet seperti media sosial, mereka boleh baca e-buku atau real seperti ini.
Manakala, guru Faridah Hanum Mohammad berkata, program itu sangat menarik kerana menyediakan buku-buku terkini dan memberi peluang kepada pengunjung untuk memilih lebih banyak koleksi.
“Di Labuan, agak sukar untuk mencari koleksi buku yang lengkap. Selalunya kami terpaksa turun ke Sabah untuk mendapatkan buku yang ada,” ujarnya.