fb fb fb fb fb

Maal Hijrah 1447 detik permulaan hidup lebih diberkati- PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sambutan Maal Hijrah 1447H/2025M menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih diberkati dan bermakna buat seluruh umat Islam di negara ini.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, Perdana Menteri menekankan bahawa tahun baharu hijrah membawa seruan untuk membangunkan Ummah MADANI yang sejahtera, inklusif, berakhlak dan berpaksikan nilai-nilai Islam.

“Hijrah bukan sekadar perpindahan, tetapi satu proses pembaharuan. Ayuh kita terus melangkah ke hadapan dengan ilmu, integriti dan semangat kebersamaan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengajak umat Islam untuk menghayati ayat ke-218 daripada Surah al-Baqarah sebagai pedoman dalam memperkukuh keimanan dan amal.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M akan berlangsung esok di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat menyempurnakan sambutan bertemakan "Membangun Ummah MADANI" itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE