fb fb fb fb fb

SME Bank perkenal 5 inisiatif, sokong kerangka Ekonomi MADANI

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick/ Facebook SME

KUALA LUMPUR, 26 Jun- SME Bank memperkenalkan lima inisiatif strategik baharu dengan nilai keseluruhan RM211 juta bagi memperkukuh komitmennya menyokong Kerangka Ekonomi MADANI.

Lima insiatif tersebut ialah MySmeLady 2.0, Pembiayaan Ekosistem Payung, Dana Kelestarian Alam, Maju Usahawan Madani dan SME Bank iTekad Ishraf 4.0.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick, menerusi inisiatif ini, lebih ramai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan berpeluang meningkatkan kapasiti perniagaan, memasuki pasaran baharu dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa termasuk aspek digital, hijau dan eksport.

"Dana ini disalurkan melalui lebih 50 skim pembiayaan mikro-kredit, geran keusahawanan serta pinjaman mudah yang merangkumi pelbagai latar belakang dan kategori perniagaan, termasuk kumpulan sasar khas seperti wanita, belia dan komuniti desa", katanya selepas Majlis Peluncuran Insiatif Belanjawan 2025.

Pelancaran inisiatif ini turut memperkasa agenda Belanjawan Negara 2025 yang memberi penekanan kepada sektor-sektor strategik berimpak tinggi termasuk teknologi, pelancongan, halal dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pada masa sama, memberi tumpuan khusus kepada usahawan B40 dan asnaf untuk membina ekosistem PMKS yang mampan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

ROSLINA BINTI DIN