Labuan berpotensi jadi hab utama industri tuna negara

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Dr. Abdul Salim Tajudin – Foto RTM

LABUAN, 26 Julai – Labuan berpotensi muncul sebagai hab industri tuna negara berdasarkan kedudukannya yang strategik berhampiran kawasan penangkapan ikan itu di Laut China Selatan dan Laut Sulu-Sulawesi.

RINGKASAN BERITA AI
  • LKIM mahu membangunkan rantaian nilai tuna lengkap dari pendaratan, penyimpanan sejuk, logistik, pemprosesan hingga pasaran eksport.
  • LKIM akan memperkukuh infrastruktur, memperluaskan penggunaan teknologi moden dan meningkatkan kapasiti nelayan tempatan.
  • 'Road to MAHA Labuan 2026' menjadi platform memperkenalkan teknologi, inovasi serta mempromosikan transformasi industri perikanan ke arah pemodenan.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Dr. Abdul Salim Tajudin berkata, pihaknya yakin potensi itu mampu merancakkan pembangunan industri perikanan, sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan tempatan.

Ketika ini, terdapat 33 bot tuna milik 15 nelayan di Labuan.

Semua hasil tangkapan didaratkan di Kompleks LKIM Kiamsam.

“Sejak tahun lalu, pendaratan tuna di Kompleks LKIM Kiamsam menunjukkan perkembangan yang positif dan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berkenaan di Labuan, ” katanya.

Sehingga Julai tahun ini, pendaratan tuna mencecah hampir 45 tan metrik di kompleks berkenaan.

“Hala tuju LKIM adalah membangunkan ekosistem industri tuna. Bukan hanya tertumpu kepada aktiviti pendaratan ikan.

“Kita mahu mewujudkan rantaian nilai yang lengkap bermula daripada pendaratan hasil, penyimpanan sejuk, logistik, pemprosesan, pemasaran hingga ke pasaran eksport, ” tambah beliau lagi.

Menurut Datuk Dr. Abdul Salim LKIM akan terus memperkukuh infrastruktur, memperluaskan penggunaan teknologi moden serta meningkatkan kapasiti nelayan tempatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program ‘Road To MAHA Labuan 2026’ di perkarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Sementara itu, ‘Road to MAHA Labuan 2026’ menjadi platform strategik untuk memperkenalkan kemajuan teknologi, inovasi dan potensi sebenar industri perikanan negara kepada masyarakat.

Melalui program ini, orang ramai dapat melihat perkembangan industri perikanan menjadi sebuah industri moden yang merangkumi teknologi, logistik, pemprosesan, pemasaran dan eksport.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.