fb fb fb fb fb

KXP perlu bukti kemampanan kewangan - Rafizi

(Rafizi Ramli)

ALOR SETAR, 9 Julai- Perancangan pelaksanaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kulim oleh Kerajaan Kedah perlu dibuktikan kemampanan kewangannya dalam jangka masa panjang supaya tidak akan melibatkan campur tangan Kerajaan Persekutuan, pada masa akan datang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kemampanan kewangan daripada pelaburan pihak swasta dalam melaksanakan sebarang projek merupakan satu keperluan bagi memastikan ia tidak terbengkalai, sekali gus tidak memerlukan tanggungan kerajaan.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan tidak akan ada masalah dengan mana-mana projek yang mempunyai kemampanan kewangan dan bermanfaat kepada rakyat.

"Mana-mana projek yang ada kemampanan kewangan dan ia membawa hasil kepada rakyat, saya pasti ia tidak akan ada masalah oleh mana-mana kerajaan pun.

"(Tetapi) yang kita bimbang ialah kalau projek itu nampak 'okay' dengan mata kasar, tetapi bila kita lihat secara perinci, kita ada kebimbangan daripada segi kemampanan kewangan," katanya.

Rafizi memaklumkan, sehubungan itu proses ketekunan wajar (due diligence) perlu dilakukan dengan sebaiknya

"Saya fikir itulah proses yang saya terbuka untuk melaluinya," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Royal Kedah Club di sini.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

(Rafizi Ramli)

Media Baharu