fb fb fb fb fb

Kusta: Penduduk Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur diminta jalani saringan segera

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 26 Februari- Semua penduduk Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang belum melakukan saringan pengesanan kusta diminta segera berbuat demikian.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau menerima maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) bahawa ada di antara penduduk kampung itu tidak menjalani saringan kerana berada di luar kawasan.

"Nampaknya kita dah dapat pengesahan daripada kementerian, cuma saya dengar dapat maklumat pihak kementerian melalui Jabatan Kesihatan Negeri minta supaya masyarakat tampil untuk dibuat saringan, tetapi tidak membimbangkan, dalam keadaan terkawal dan baik", katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Negeri, Seremban.

Tambahnya, sehingga 19 Februari lalu, JKN Negeri Sembilan telah menjalankan saringan ke atas 368 daripada 460 penduduk bagi mengesan kusta dalam kalangan penduduk di dua perkampungan tersebut.

Dalam pada itu, KKM menerusi satu kenyataan memaklumkan situasi penyakit kusta di Kuala Pilah terkawal dan pesakit tidak perlu diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan.

Bagaimnapun, penduduk diminta supaya memberikan kerjasama kepada pasukan kesihatan semasa aktiviti pengesanan kes dijalankan.

Terdahulu, sebanyak sembilan kes disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberi rawatan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Salah seorang daripada pesakit yang berusia 18 tahun dari Kampung Chergun meninggal dunia pada 17 Februari lalu.

ROSLINA BINTI DIN