MEMBAKUT, 15 Februari- Pembangunan industri halal seluruh negara, tumpuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Ke arah menjayakannya, kerjasama KUSKOP di peringkat kerajaan negeri, harus diperkasa.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick menyatakan komitmen KUSKOP berhubung pembangunan industri halal, lebih-lebih di Sabah, selepas melancarkan, Pejabat TEKUN Cawangan Kimanis, di Membakut, Sabah.
Jelasnya, berdasarkan maklumat diperoleh, beliau mendapati terdapat keperluan tambahan di Sabah, dalam industri halal.
"Platform dan mekanisme industri halal sudah ada di seluruh negara. Cuma saya melihat ada keperluan tambahan di Sabah.
"Saya difahamkan ada usahawan-usahawan yang memohon persijilan halal, ada antara produk mereka yang terpaksa dihantar ke bengkel, makmal di Kuala Lumpur, di Semenanjung untuk diperiksa, diuji kehalalannya.
"Jadi ada cadangan daripada mereka untuk permudahkan perkara ini, dengan mewujudkan makmal halal di Sabah. Peringkat kementerian mungkin kita tidak dapat bantu dari sudut itu, cuma kita boleh bantu daripada segi geran persijilan, geran pembungkusan, geran produktiviti, bengkel kesedaran dan sebagainya," katanya.
Beliau optimis, kerjasama strategik KUSKOP, Kementerian Pembangunan, Perindustrian dan Keusahawanan (KPPK) Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), pasti dapat merealisasikan perkara berkenaan.
Tambahnya, satu jawatankuasa bersama antara KUSKOP dan KPPK Sabah, juga telah membincangkan perkara itu.