fb fb fb fb fb

KUOA 2022 berlangsung 24-26 Jun, tampil keunikan produk usahawan orang asli

KUALA LUMPUR, 10 Jun- Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) 2022 bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini selepas tertangguh dua tahun ekoran wabak COVID-19 dengan mengetengahkan keunikan produk usahawan masyarakat orang asli.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata KUOA 2022 yang akan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Amanjaya Meru di Ipoh, Perak membolehkan orang ramai mendapatkan hasil kraf, makanan serta herba dikeluarkan 50 usahawan orang asli seluruh negara.

Beliau berkata pelbagai acara menarik turut disusun sepanjang karnival itu termasuk demonstrasi anyaman tradisional, pertandingan menyumpit dan pakaian tradisional serta persembahan kumpulan kebudayaan orang asli.

Menurutnya penganjuran karnival itu merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada orang asli dalam menjana dan meningkatkan ekonomi mereka setanding masyarakat lain di negara ini.

(Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad)

"Penglibatan masyarakat orang asli dalam bidang keusahawanan semakin meningkat dari tahun ke tahun, oleh itu KUOA 2022 ini seiring dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan warga orang asli dapat seiring dengan masyarakat perdana," katanya selepas merasmikan prapelancaran KUOA 2022 semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan orang asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi membantu melahirkan usahawan orang asli tahun ini.

Beliau berkata ia meliputi pemberian bantuan premis perniagaan, peralatan perniagaan, penganjuran kursus dan seminar keusahawanan.

"JAKOA yakin KUOA 2022 dapat menjadi platform terbaik bagi memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat dan pelancong," katanya.

Media Baharu