fb fb fb fb fb

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia selamat tiba di Makkah

MAKKAH, 10 Jun - Jemaah haji dari kumpulan KT01 bertolak dari Madinah pada pukul 3.00 petang menaiki 7 buah bas dan tiba di Abraj Al-Janadriyah, Makkah pada pukul 10.30 malam semalam.

Seramai 2,766 jemaah dari 10 penerbangan selamat sampai di tanah suci dan 295 jemaah dari KT01 juga turut selamat sampai di Makkah.

Ketibaan jemaah disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Pengerusi Syarikat Tewafa Asia Tenggara, Adnan Husin Abdullah Mandura, barisan pengurusan dan petugas haji.

Kumpulan pertama itu turut diberi sambutan khas oleh warga Tabung Haji dan muassasah, selepas dua tahun tiadanya jemaah haji luar Arab Saudi, akibat COVID-19.

Menurut Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Ketua Rombongan Haji Malaysia para jemaah disambut dengan baik oleh pihak Tabung Haji dan Syarikat Muassasah Tewafa Asia Tenggara.


(Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Ketua Rombongan Haji Malaysia menyambut jemaah haji yang tiba di sini)

"ini menunjukkan bahawa kerjasama yang baik diantara kedua-dua pihak dalam menyantuni dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para tetamu Allah pada tahun ini," katanya di sini.

Jemaah seterusnya diberi taklimat dan melakukan ibadah umrah iaitu tawaf mengelilingi kaabah, sa’ie dari bukit safa ke bukit marwah, tahallul dan tertib.

Jemaah haji Malaysia akan tiba setiap hari di Mekah sehingga awal julai, untuk menunaikan haji tahun ini.

Mahami Shaarani, Jemaah Haji Malaysia merasa teruja kerana berpeluang menunaikan ibadah haji pada tahun ini selepas 2 tahun tiada ibadah haji.

"Mestilah teruja kan, kita tak pernah lagi mengerjakan haji," katanya di sini.

Seorang lagi jemaah haji yang ditemubual media disini iaitu Roslan A Rahman berkata akan cuba untuk melakukan ibadah sebanyak yang boleh.

"Kita bercadang untuk ke masjidil haram setiap waktu lah, kalau boleh setiap waktu untuk beribadat dan buat aktiviti lah seperti berzikir, membaca al-quran dan sebagainya," katanya pada media di sini.

Pejabat utama Tabung Haji di Mekkah mula beroperasi sepenuhnya untuk terus menyantuni 14,306 jemaah haji Malaysia bagi musim haji kali ini.

Media Baharu