fb fb fb fb fb

Kumpulan kedua Sumud Nusantara belayar ke Gaza 10 September

FOTO FACEBOOK Sumud Nusantara Official

KUALA LUMPUR, 8 September- Kumpulan kedua sukarelawan Sumud Nusantara yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memulakan pelayaran dari Catania, Itali menuju ke Gaza pada 10 September ini.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein berkata, tarikh pelepasan itu ditetapkan selepas beberapa kali ditangguhkan bagi menunggu ketibaan flotilla dari Barcelona, Sepanyol, yang membawa 15 lagi rakyat Malaysia.

"Kami akan belayar bersama-sama, tetapi tidak berjumpa di pelabuhan. Maksudnya, kami akan bergerak lebih kurang serentak pada 10 September.

"Flotilla dari Tunisia juga dijangka berlayar pada masa sama. Semua kapal akan bergerak serentak dan bertemu di satu titik pertemuan di tengah laut, sebelum meneruskan pelayaran di Laut Mediterranean menuju ke Greece, Cyprus dan seterusnya ke perairan Gaza," katanya ketika dihubungi RTM.

Menurut beliau, perjalanan dari Tunisia dan Catania dijangka mengambil masa tujuh hingga 10 hari untuk tiba di perairan Gaza, bergantung kepada keadaan laut dan bot.

"Namun, jika disekat atau dihalang tentera Israel, itu kemungkinan besar akan berlaku. Bagaimanapun, kami sudah diberi latihan dan persiapan mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berdepan situasi tegang," jelasnya.

Tuan Asri turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas doa dan sokongan yang disampaikan menerusi media sosial.

Untuk rekod, sebelum ini media antarabangsa melaporkan sebuah flotila awam berskala besar dijadual belayar ke Gaza hujung bulan ini dengan kumpulan pertama berlepas dari Sepanyol pada 31 Ogos, diikuti kumpulan kedua dari Tunisia pada 4 September.

SITI AISHAH BINTI MD ISA