fb fb fb fb fb

Kuala Nerus, daerah pertama di Terengganu dilanda banjir

Foto FB Bencana Operasi APM Terengganu

KUALA NERUS, 20 November- Kuala Nerus menjadi daerah pertama di Terengganu yang dilanda banjir pada musim Monsun Timur Laut kali ini apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Tok Jembal pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan setakat ini 155 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan seawal 4 pagi.

Kenyataan itu turut memaklumkan jumlah penduduk terjejas dijangka terus meningkat dan lebih banyak PPS akan dibuka memandangkan hujan masih berterusan dan proses pemindahan penduduk sedang dijalankan.

Antara kawasan terjejas adalah Taman Permai Murni, Gong Badak, Jalan Kamaruddin, Jalan Pusara, Batu Buruk, Taman Dahlia, Taman Alamanda 1, 2 dan 3, Kuala Ibai dan Losong, Kuala Terengganu.

Sementara itu, kesesakan teruk berlaku di sekitar banda raya Kuala Terengganu kerana laluan utama dinaiki air antara 0.5 hingga 1.5 meter.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman berkata tiga sekolah di Kuala Terengganu terjejas banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Losong dan SK Tok Dir.

Beliau berkata kawasan sekolah berkenaan telah dinaiki air dan pihak pengurusan membuat keputusan untuk tidak membenarkan murid hadir ke sekolah atas sebab keselamatan.

Bagaimanapun semua guru dan murid diarahkan untuk mengikuti proses pembelajaran seperti biasa melalui mod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Dalam pada itu berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Parit Utama di Padang Kemunting di Kuala Nerus merekodkan paras 3.73 meter melepasi paras amaran 3.6 meter.

ZEHRA BINTI ZAMBRI