fb fb fb fb fb

HKM MPI-PETRONAS 2023 perkenal enam kategori baharu

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar

CYBERJAYA,17 November- Enam kategori baharu diperkenalkan pada Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2023, termasuk Kewartawanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Terbaik, Bicarawara Video Terbaik dan Bicarawara Radio Terbaik.

Menerusi satu kenyataan, Malaysian Press Institute (MPI) memklumkan tiga lagi kategori ialah Dokumentari Video Terbaik, Lintas Langsung Berita Video Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik, menjadikan 23 kategori dipertandingkan kesemuanya.

Penyertaan HKM terbuka kepada karya-karya kewartawanan berbentuk laporan berita, rencana, foto dan kandungan berita lain yang telah diterbit dan disiarkan sepanjang tahun ini.

MPI mengucapkan penghargaan kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang komited meraikan kepelbagaian karya-karya terbaik kewartawanan dengan terus menaja HKM sejak 1994.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar berkata PETRONAS bersetuju memperbaharui kontrak penajaan HKM selama tiga tahun bermula HKM 2023 hingga 2025 dengan jumlah RM 450,000 setahun berbanding RM 300,000 sebelumnya.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa mulai tahun ini MPI dengan persetujuan wakilwakil organisasi media bersetuju membuka penyertaan HKM kepada wartawan sambilan yang berdaftar dengan organisasi media tempatan dan memenuhi syaratsyarat penyertaan.

Katanya, penyertaan HKM 2023 akan dibuka mulai 20 November 2023 dan tarikh akhir penyertaan ialah pada 15 Januari 2024.

Untuk keterangan lanjut mengenai HKM, sila layari laman sesawang www.mpi.my atau hubungi Sekretariat HKM di talian 03 -8689 2717.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE