KUALA LUMPUR, 20 November - Topik serta intipati perbahasan para senator seharusnya perlu lebih kritikal dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia penting agar fungsi semak dan imbang Dewan itu dapat direalisasi selain perkara yang dibahas lebih konstruktif dan produktif.
"Perbahasan yang berhormat Ahli Dewan Negara memainkan peranan penting dalam menilai Rang Undang-Undang dan Usul yang dibawa dari Dewan Rakyat.
"Input perbahasan yang produktif dan kritikal ini juga mewajarkan kelayakan lantikan yang sejajar dengan pengalaman profesional dan kepakaran masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan mengalu-alukan pelantikan semula Senator Rita Sarimah Anak Patrick Inso pada Majlis Mengangkat Sumpah di Dewan Negara, di sini.
Senator Rita Sarimah Patrick Inso merupakan lantikan Yang Di-Pertuan Agong berkuat kuasa mulai 20 November 2023 hingga 19 November 2026.