fb fb fb fb fb

KTMB sedia empat tren tambahan sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat perkhidmatan tambahan tren elektrik (ETS), bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Tren berkenaan melibatkan dua laluan bagi KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya serta dua laluan dari KL Sentral ke Butterworth dan sebaliknya.

Kesemua tren tambahan itu akan beroperasi selama enam hari bermula 27 Jun hingga 2 Julai, melibatkan 24 perkhidmatan tambahan.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang akan beroperasi dalam tempoh tersebut adalah sebanyak 36 trip sehari, berbanding pada hari biasa iaitu 32 trip sehari," menurut KTMB dalam kenyataan hari ini.

Penambahan tren ETS tersebut adalah bagi menampung permintaan tiket kereta api yang tinggi semasa musim perayaan serta dapat mengelakkan kesesakan trafik setiap kali pulang ke kampung halaman.

"Tren tambahan ini menawarkan sebanyak 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 7,560 yang ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan," tambah kenyataan itu.

Tiket tren tambahan tersebut akan mula dijual pada 1 Jun, pukul 10 pagi.

Orang ramai disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau membuat pembelian terus di laman sesawang rasmi KTMB.

(Foto Hiasan)

Media Baharu