fb fb fb fb fb

KSM ambil pendekatan tunggu, semak sebelum buka kuota

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 31 Mac - Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil pendekatan menunggu dan membuat semakan jumlah pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia sebelum membuka semula permohonan dan meluluskan kuota pekerja asing yang ditangguhkan sebelum ini.

Menterinya, V.Sivakumar berkata meskipun terdapat gesaan daripada pemain industri untuk membuka permohonan bagi kuota tambahan, perkara itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dengan mengambil kira pelbagai faktor.

(Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar)

"Jadi kita sudah bagi kelulusan kuota dan sekarang tanggungjawab majikan membawa mereka dengan kadar segera. Kalau mereka melambatkan kita pun tidak tahu sama ada pekerja ini akan datang ataupun tidak datang.

"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya untuk mengeluarkan kuota tambahan kita kena tunggu dan lihat sama ada jumlah yang masuk itu cukup ataupun tidak kalau benar-benar tidak cukup nanti kita akan buat keputusan kemudian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar KSM, di sini, semalam.

Setakat 14 Mac lalu, KSM meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing daripada pelbagai sektor dan dengan kelulusan itu, ia dijangka dapat memenuhi keperluan guna tenaga asing oleh industri termasuk di sektor kritikal.

Pada 27 Mac lalu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa agar permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing disambung semula dengan segera, bagi memastikan industri yang memerlukan pekerja berpeluang mengekalkan operasi perniagaan dan memenuhi permintaan dalam tempahan mereka.

Media Baharu