fb fb fb fb fb

Jualan mahal, aduan awam meningkat - Fuziah

(Fuziah Salleh bercakap kepada pemberita dalam sidang media di Bayan Baru)

BAYAN BARU, 31 Mac- Peniaga diingatkan tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya atau berdepan tindakan dikenakan kompaun.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh memberi peringatan itu berikutan peningkatan aduan orang awam terhadap sikap peniaga, termasuk di bazar Ramadhan di seluruh negara.

Antara aduan yang diterima adalah berkenaan harga, alat timbang dan kebanyakan kesalahan ini dikesan dikalangan peniaga kedai runcit, pasar dan sebagainya.

"Jadi, nilai kompaun yang setakat ini daripada 23 Mac, sejumlah RM11,400 nilai kompaun sehingga semalam, sebanyak 283 aduan yang kita telah terima.

"Semalam sahaja, terdapat 51 aduan diterima dan nilai kompaun berjumlah RM3000. Jadi Ops Pantau ini akan diteruskan, dan jika didapati produk harga kawalan dijual melebihi harga ditetapkan kita memang akan kompaun,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadhan Rahmah (BRR) Bayan Baru dan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Redi) di bazar Ramadhan Bayan Baru, semalam.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut menjalankan sebanyak 17,920 pemeriksaan di premis perniagaan serta di lebih 6,000 bazar Ramadan di seluruh negara sepanjang tempoh yang sama.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sehingga kini sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuk dua lokasi yang dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).


(Fuziah Salleh melancarkan Bazar Ramadhan Rahmah (BRR) Bayan Baru dan

Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Redi) di bazar Ramadhan Bayan Baru)

Media Baharu