fb fb fb fb fb

Kempen 'Cahaya Raya' hargai komuniti autisme

(Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh)

KUALA LUMPUR, 31 Mac- Kempen ‘Cahaya Raya’ bersama komuniti autisme dilancarkan di Sunway Malls bagi merapatkan jurang serta meningkatkan kesedaran tentang Gangguan Spektrum Autisme (ASD).

Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata inisiatif kali ini melibatkan sumbangan kepada empat keluarga B40 yang mempunyai ahli keluarga autistik di kawasan Segambut.

Sokongan berbentuk pembiayaan pendidikan, kemahiran hidup serta keperluan harian diberikan bersama sumbangan yang disalurkan oleh pusat membeli belah berkenaan.

“Sebelum ini, mereka membantu barisan hadapan kita semasa (pandemik) COVID-19 dan semasa raya dahulu mereka membantu satu keluarga di Sungai Penchala untuk mengubah rumah mereka dan kali ini (membantu) keluarga yang mempunyai anak-anak autisme.

“Jadi saya melihat ini adalah satu sumbangan yang bermakna kerana ini usaha berterusan, tambahan lagi kita tahu pusat membeli-belah adalah tempat komuniti berkumpul. Sekiranya setiap pusat membeli belah mengadakan program kesedaran ini, ia akan membantu masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau bercakap pada majlis pelancaran Kempen Cahaya Raya di Sunway Putra Mall, di sini, pada Khamis.


(Kempen ‘Cahaya Raya’ bersama komuniti autisme dilancarkan di Sunway Malls bagi merapatkan jurang
serta meningkatkan kesedaran tentang Gangguan Spektrum Autisme (ASD)

Jelasnya, pusat beli-belah itu turut menyediakan bilik tenang, sudut sensori, serta Pegawai Prihatin sebagai langkah inklusif kepada golongan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls and Theme Parks, HC Chan, berkata pelancaran kempen ‘Cahaya Raya’ itu diilhamkan daripada tradisi memasang pelita pada 10 malam terakhir Ramadan yang dilihat akan membawa cahaya kegembiraan kepada pengunjung di setiap rangkaian pusat membeli belah berkenaan.

“Acara pelancaran ini juga dijadikan inklusif yang mungkin bagi golongan autistik, dibuktikan dengan pemberian palam telinga bagi mereka yang sensitif dengan bunyi, di samping penyediaan zon senyap untuk tetamu lebih selesa menikmati majlis pelancaran ini. 

“Kita juga haruslah berusaha untuk menjadi inklusif yang mungkin dengan tahap kemajuan sebuah masyarakat dicerminkan oleh sifat keterbukaan dan penerimaan anggotanya, inklusif  adalah satu teras dalam organisasi kami,” katanya

Media Baharu