KUALA LUMPUR, 24 Disember - Rakyat Malaysia perlu menjadikan sambutan perayaan sebagai wadah untuk terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian, selain saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama.
Menerusi ucapan di Facebook bersempena sambutan Krismas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan rakyat agar sentiasa menghindari sebarang unsur, tutur kata atau tindakan yang boleh mencetuskan kemarahan, keresahan atau salah faham mana-mana pihak dalam meraikan kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia.
"Sensitiviti agama, kaum dan budaya wajar sentiasa dipelihara agar keharmonian yang kita nikmati terus terjamin.
"Perbezaan latar belakang bukan alasan untuk berpecah, sebaliknya kekuatan untuk kita bersatu padu. Dengan semangat toleransi, saling memahami dan menghormati, setiap perayaan yang diraikan mampu menjadi asas kukuh kepada perpaduan nasional.
"Ayuh! marilah kita terus berganding bahu, mengetepikan perbezaan dan bersama-sama membina ekonomi negara yang mampan demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Tambahnya, perpaduan dalam kepelbagaian adalah tunjang kepada kestabilan, kemakmuran dan masa depan negara yang lebih sejahtera selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
"Semoga keamanan, keharmonian dan perpaduan yang kita kecapi hari ini terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang," katanya lagi.