fb fb fb fb fb

Krisis Laut China Selatan, usaha kolaboratif pelihara keamanan

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Usaha kolaboratif berperanan penting dalam memelihara kesalinghubungan dan menangani ancaman di Laut China Selatan.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, ini meliputi komitmen memperkasa dasar keselamatan kapal, navigasi serta memperkukuh operasi ketenteraan dan penguatkuasaan undang-undang di Laut China Selatan.

"Memandangkan jumlah kapal yang melintasi Laut China Selatan dan pergantungan ekonomi global terhadap koridor maritim yang penting ini, memelihara kesalinghubungan di kawasan ini mestilah menjadi keutamaan bersama.

Untuk mencapai ini, usaha kolaboratif diperlukan untuk menangani dan mengurangkan ancaman yang boleh menjejaskan kelancaran perdagangan melalui perairan ini," kata Datuk Hasbi, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Institut Maritim Malaysia (MIMA) Laut China Selatan 2024 di ibu negara.

Program tersebut menghimpunkan lebih 150 pemimpin pemikiran, pakar industri dan pihak berkepentingan dari dalam negara dan luar negara termasuk peserta dari Jepun, Australia dan China.

Program selama dua hari itu merupakan platform untuk menfokuskan isu-isu penting dalam menangani cabaran dan peluang pelbagai aspek di rantau tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM