KUALA LUMPUR, 9 Disember - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memperkasakan industri penjagaan melalui Program Latihan dan Pembangunan Kapasiti, Institut Sosial Malaysia (ISM).
Timbalan Menteri Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja membuka peluang ekonomi serta pekerjaan baharu malah turut menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita dalam sektor tersebut.
Tambahnya, ISM adalah institusi yang berperanan menyediakan latihan melalui modul yang komprehensif kepada industri penjagaan; selain mampu menyumbang kepada sektor ekonomi dan pembangunan negara.
"Industri Penjagaan yang sedang dibangunkan di negara kita bukan sahaja menjurus kepada usaha meningkatan penyertaan wanita dalam pasaran buruh tetapi turut melengkapi persiapan Malaysia yang bakal menjadi negara tua pada tahun 2030, Orang kurang upaya (OKU) mempunyai akses kepada penjagaan yang diperlukan, kanak-kanak mendapat jagaan dan asuhan yang terbaik serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di negara ini secara holistik," kata Noraini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wakil Ampang, Rodziah Ismail di Dewan Rakyat.
Pada masa sama Industri Penjagaan juga menzahirkan kesepakatan yang telah dipersetujui bersama dalam menjayakan ASEAN Declaration on Strengthening the Care Economy and Fostering Resilience Towards the Post 2025 ASEAN Community.