
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Satu sesi libat urus Belanjawan 2027 antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan bagi mendapatkan pandangan dan cadangan berkaitan dasar serta keutamaan peruntukan dalam Belanjawan 2027.
- Pelbagai NGO mewakili wanita, OKU, penjagaan, keluarga, warga emas, kanak-kanak dan gelandangan diberi peluang mengemukakan cadangan.
- Kementerian akan mendengar dan meneliti cadangan, serta meneruskan usaha membantu pertubuhan yang tidak menerima geran kerajaan melalui pendekatan sesuai.
- Input NGO dikumpul untuk dipertimbang dalam merangka keutamaan Belanjawan 2027 sambil meneroka kerjasama menggunakan peruntukan sedia ada.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelbagai NGO mewakili kumpulan sasar termasuk wanita, orang kurang upaya (OKU), sektor penjagaan, keluarga, warga emas dan kanak-kanak termasuk gelandangan diberi peluang untuk berbuat demikian.
“Cadangan kumpulan sasar akan terus didengar dan diteliti, manakala usaha untuk membantu pihak yang tidak menerima geran kerajaan akan tetap dilakukan melalui pendekatan yang bersesuaian.
Meskipun belum dapat memberikan komitmen terhadap permintaan dan cadangan yang dikemukakan, kita perlu cari jalan bagaimana kita dapat membantu mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, input yang diterima daripada NGO akan dikumpul dan dipertimbang pihak kementerian dalam proses merangka keutamaan dasar serta peruntukan Belanjawan 2027.
Datuk Seri Nancy memaklumkan, selain peruntukan Belanjawan 2027, kementerian juga boleh meneroka kerjasama lain menggunakan peruntukan sedia ada, termasuk peruntukan Persekutuan bagi melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
Namun beliau mengakui terdapat cabaran dalam menentukan bentuk bantuan atau peruntukan yang sesuai bagi setiap NGO berikutan keperluan dan kapasiti pertubuhan yang berbeza.
“Yang penting kita bekerjasama. Selain daripada bajet yang ada ini, kita juga boleh bekerjasama melalui peruntukan sedia ada, termasuk peruntukan Persekutuan,” katanya pada sesi libat urus Belanjawan 2027 KPWKM di sini.