fb fb fb fb fb

KPT tidak kompromi sebarang kes jenayah di IPTA & IPTS

FOTO RTM

KANGAR, 16 November- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan berkompromi dengan sebarang kes jenayah yang berlaku dimana-mana IPTA dan IPTS.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan, pihaknya memandang serius setiap kes yang berlaku melibatkan pelajar IPTA dan IPTS dan langkah tegas diambil kepada pelaku terlibat.

Selain itu, KPT akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa terutamanya PDRM dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPTA dan IPTS bagi menangani sebarang kes yang dilaporkan.

Ia susulan beberapa kes yang berlaku melibatkan pelajar IPTA dan IPTS kebelakangan ini termasuklah kes buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan terbaharu penahanan empat individu termasuk dua wanita yang merupakan pelajar sebuah universiti swasta di Seri Iskandar, semalam.

"Pendekatan tegas diambil bagi memastikan keselamatan setiap pelajar di kampus adalah terjamin dan insiden tidak berulang serta memberi amaran tegas kepada semua pengurusan Institusi Pengajian Tinggi untuk tidak melindungi atau terlibat dengan isu tersebut.

"Setiap tindakan yang akan dikenakan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa sekiranya didapati bersalah dalam kes dilaporkan," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional memaklumkannya selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional Negeri Perlis di Kangar.

Konvensyen dihadiri kesemua pimpinan tertinggi Barisan Nasional Negeri Perlis termasuk cawangan-cawangan, pemuda, puteri dan mahasiswa IPT.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE