
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempertimbangkan cadangan memperluas inisiatif pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar miskin di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk universiti milik kerajaan negeri.
- KPT mempertimbangkan luaskan pendidikan percuma PTPTN kepada pelajar miskin di institusi pengajian tinggi swasta.
- Inisiatif akan dikaji agar lebih inklusif, termasuk universiti milik kerajaan negeri yang dikategorikan IPTS.
- Kos besar diakui, namun kementerian akan meneliti aspek fizikal dan perbelanjaan sebelum pengembangan.
- Penerima tidak dibenarkan terima dua pembiayaan serentak; semakan silang eKasih dan tindakan penamatan dikenakan jika melanggar.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, berkata perkara itu telah dibincangkan di peringkat kementerian bagi memastikan pelajar layak, khususnya penerima Biasiswa Anak eKasih, tidak tercicir daripada menerima bantuan.
“Kita tidak boleh terlepas pandang fakta bahawa universiti-universiti milik kerajaan negeri juga dikategorikan sebagai universiti swasta. Itu betul, dan bukan semua pelajar yang memasuki IPTS berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi.
“Kita akan cuba mencari jalan dan mengambil langkah-langkah supaya inisiatif ini lebih inklusif. Kita juga akan meneliti kedudukan fizikal serta perbelanjaan yang dikeluarkan. Memang kali ini kos agak besar, tetapi kita tidak menolak usaha untuk meluaskan inisiatif ini kepada pelajar-pelajar yang lebih layak atau berkelayakan di institusi swasta pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Norhasmimi Abdul Ghani di Dewan Negara berkenaan mekanisme pemantauan yang digariskan kerajaan bagi memastikan inisiatif pendidikan percuma PTPTN kepada 10,000 pelajar miskin benar-benar memanfaatkan kumpulan sasar.
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa penerima pendidikan percuma PTPTN tidak dibenarkan menerima dua pembiayaan serentak daripada penaja berbeza bagi memastikan agihan dibuat secara adil dan telus.
Setiap permohonan akan disemak silang dengan data eKasih serta agensi penaja lain, manakala tindakan penamatan serta-merta akan dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran syarat atau pemalsuan dokumen.