
CYBERJAYA, 3 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan KinderHub@MCMC sebagai inisiatif memperkukuh kesejahteraan warga kerjanya menerusi penyediaan kemudahan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti.
- Pelancaran KinderHub@MCMC menyediakan kemudahan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berkualiti untuk kesejahteraan warga kerja.
- Inisiatif membantu pekerja mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga dengan persekitaran selamat dan kondusif.
- Centrum boleh menampung 153 kanak-kanak, dengan 76 pendaftaran sedia ada, diharap menjadi contoh bagi badan berkanun lain.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penubuhan taman asuhan dan didikan kanak-kanak itu mencerminkan komitmen MCMC dalam memastikan kebajikan warga kerja terus diberi keutamaan dengan sokongan keluarga sebagai tunjang kekuatan organisasi.
“Ia dilihat dapat membantu warga kerja mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga dengan menyediakan persekitaran selamat serta kondusif untuk anak-anak berada dekat dengan ibu bapa ketika mereka bertugas.
“Selain itu ia juga membolehkan mereka menumpukan perhatian terhadap pelaksanaan infrastruktur digital yang lancar dan tepat pada masanya, selain memastikan internet lebih selamat demi masa depan negara lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan KinderHub@MCMC di sini hari ini.
Datuk Fahmi yakin dengan kemudahan yang disediakan mampu menjadi ruang terbaik untuk perkembangan anak-anak dalam kalangan keluarga warga MCMC.
“Setakat ini, seramai 76 kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga enam tahun telah berdaftar dan pusat berkenaan mula beroperasi pada 15 Januari lalu.
“Kemudahan itu berkeupayaan menampung sehingga 153 kanak-kanak pada satu-satu masa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga berharap inisiatif berkenaan dapat dijadikan contoh kepada badan-badan berkanun lain mewujudkan fasiliti serupa, sekali gus memperluas sokongan terhadap kesejahteraan institusi dan keluarga penjawat awam.