TAPAH, 22 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperhalusi pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035, yang dijangka dilancarkan pada tahun ini sebagai panduan pembangunan pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata pelan tersebut telah disiapkan berdasarkan laporan yang disediakan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kementerian.
“Sementara itu, kita sedang memperhalusi aspek pelaksanaan pelan yang sedia ada, termasuk melibatkan pihak berkepentingan seperti universiti, politeknik dan seluruh ekosistem pendidikan tinggi.
"Insya-Allah, dalam tempoh terdekat, pelan ini akan dilancarkan,” katanya selepas menghadiri Program Outreach KPT@Tapah di Dewan Serbaguna RPA2, di sini.
Beliau turut menekankan bahawa pelan tersebut merupakan ‘dokumen hidup’, iaitu fleksibel dan terbuka kepada semakan mengikut keperluan dan perubahan semasa.
Pelaksanaan pelan ini turut mengambil kira perkembangan teknologi semasa seperti kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital, bagi memastikan kesesuaian dengan keperluan masa depan.
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan bahawa lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk melanjutkan pengajian, tidak lagi tertumpu kepada universiti semata-mata.
Jelasnya, laluan teknikal dan vokasional seperti politeknik, kolej komuniti dan latihan kemahiran kini diiktiraf setaraf dengan pendidikan akademik.
“Maknanya, kalau mereka memohon masuk ke universiti berdasarkan kelayakan akademik tetapi tidak berjaya, itu tidak bermakna mereka gagal.
Ada satu lagi laluan yang sangat penting dan setara, iaitu laluan dalam bidang teknikal,” katanya.
Tambah beliau, mereka yang sudah berada dalam pasaran kerja turut diberi peluang menyambung pelajaran berdasarkan pengalaman kerja, bagi mempelbagaikan kemahiran.
Langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan sistem pendidikan tinggi yang inklusif, anjal dan selari dengan keperluan semasa serta masa depan.
Sementara itu, Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN),menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan bekerja untuk rakyat dan menolak sebarang bentuk kempen yang bersifat melampau atau bersandarkan sentimen semata-mata.
Tanbahnya, parti itu sentiasa komited untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat tanpa perlu membuat kenyataan-kenyataan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan rakyat.
"Kita sentiasa bekerja dan akan terus bekerja untuk rakyat. Kita tidak membuat kenyataan-kenyataan yang keterlaluan atau bermain sentimen-sentimen rakyat yang boleh merosakkan dari segi kedudukan kehidupan mereka,” katanya.
Zambry turut menekankan bahawa pendekatan ini lebih berkesan dalam meraih sokongan berbanding taktik politik keterlaluan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Inilah pendekatan kita dalam Barisan Nasional. Kita bukan sahaja mahu menang pilihan raya, tetapi juga mahu memastikan kehidupan rakyat benar-benar terbela,” katanya.