fb fb fb fb fb

KPT kaji wujudkan politeknik AI pertama negara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melakukan kajian bagi mewujudkan politeknik khusus untuk program kecerdasan buatan (AI) pertama di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan berkata, perbincangan berkaitan perkara itu telah dibuat bersama-sama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Mohd Zahari Ismail ketika melawat University of Tsukuba di Irabaki, Jepun, baru-baru ini.

University of Tsukuba merupakan sebuah universiti penyelidikan terkemuka di Jepun dan mempunyai pusat kajian AI.

"Saya dan pihak universiti mencapai kata sepakat untuk kita menjalinkan kerjasama dalam bidang AI ini melalui pemindahan dan perkongsian tenaga mahir serta teknologi terkini yang berkaitan.

"Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mewakili MTUN (Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia) bersama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedang membangunkan Pusat Pengajian AI di Malaysia akan terlibat dalam kerjasama ini," katanya dalam kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain Zambry turut menyarankan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini mengkaji dan merangka mengenai ‘Social Implementation Education’ dalam sistem pendidikan tinggi negara seperti yang telah dipraktikkan National Institute of Technology, Tokyo College (Tokyo KOSEN).

Perkara itu disebabkan institusi berkenaan mengambil pelajar seawal usia 15 tahun dan diberikan peluang untuk menghasilkan sesuatu yang baharu mengikut kreativiti serta idea masing-masing. Hasilnya akan dijadikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat di Jepun dan secara tidak langsung membantu kerajaan mengatasi sesuatu isu dengan berkesan.

Selain itu, satu kerjasama baharu juga akan dibentuk antara KPT dan Japan International Cooperation Agency (JICA) yang memfokuskan kepada penyediaan dana daripada pihak JICA dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI