KUALA LUMPUR, 25 Ogos -Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited melaksanakan pelbagai usaha strategik bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan terutamanya melalui penerapan teknologi terkini dan pendekatan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Timbalan Menteri Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan, kementeriannya ketika ini memberi fokus terhadap tiga inisiatif utama iaitu memperkasa program intervensi dan pembangunan, memperkenal kurikulum tersedia masa hadapan (FRC) serta memperkukuh kerjasama institusi pendidikan tinggi dan industri.
"Memperkasa program intervensi dan pembangunan dengan perkenalkan program Tauliah Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi bertujuan beri nilai tambah serta peluang kepada graduan untuk tingkatkan kemahiran (upskilling) dan memperoleh kemahiran baru (reskilling)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli parlimen Tanjong Karang mengenai pelan tindakan KPT menangani isu pengangguran siswazah dalam bidang kritikal seperti Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan TVET, serta cadangan memperluas kerjasama dengan industri berkaitan.
Bagi insiatif kurikulum tersedia masa hadapan melibatkan proses pengemaskinian kurikulum secara berkala antara tiga hingga lima tahun dengan pelaksanaan elemen FRC.
Manakala kolaborasi dengan pihak industri, kerjasama dipergiat melalui platform sepetti Majlis Pekerjaan Negara, Majlis TVET Negara.
Tambah beliau, KPT terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membangunkan bakat yang berdaya tahan, adaptif dan bersedia menghadapi perubahan pesat landskap teknologi melibatkan bidang STEM dan TVET.