KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025. Ia bertujuan memperluas akses kepada keadilan serta menstruktur semula sistem bantuan guaman sedia ada supaya lebih cekap dan menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU ini memodenkan kerangka perundangan dengan merangkumi bantuan guaman sivil dan syariah, pengantaraan serta pendampingan guaman bagi kes melibatkan kanak-kanak.
“Kita tak nak situasi, selalunya dalam kes-kes yang berlaku untuk bantuan guaman, dah lah mereka tak mampu nak dapatkan peguam, nak pergi jumpa peguam pun kadang-kadang tak mampu, sekurang-kurangnya dalam perkara ini, mereka juga boleh menggunakan servis ini (nasihat guaman secara elektronik) yang bagi saya sesuatu yang baik bagi rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU di Parlimen.
RUU berkenaan memperuntukkan penubuhan jawatan Ketua Pembelaan Awam serta pegawai pembela awam, selain memansuhkan Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26). Fungsi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) pula akan diselaraskan dengan Jabatan Bantuan Guaman (JBG).
Undang-undang baharu tersebut turut memberi jaminan akses kepada pembelaan awam bagi golongan miskin, kanak-kanak, orang kelainan upaya serta tertuduh yang tidak mampu mendapatkan khidmat guaman sendiri.
Dewan Rakyat meluluskan RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 dengan suara majoriti, selepas dibahas 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.