fb fb fb fb fb

KPT bentang pindaan RUU AUKU hujung tahun ini

PUTRAJAYA, 6 April- Kementerian Pengajian Tinggi akan membentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin menyatakan pindaan tersebut masih dalam proses draf yang membabitkan Seksyen 15 dan 16.

"Saya cuba tahun ini lah, sebab kita kena melalui satu proses. Prosesnya ialah kita kena pastikan pindaan itu diluluskan, dia punya kerangka apa semua itu dipersetujui Pejabat Peguam Negara, kemudian hantar ke kabinet.

Sebelum bentang di kabinet, kita akan dapatkan maklumat daripada kementerian-kementerian lain dan sebagainya," kata Khaled kepada pemberita pada sidang media Majlis Sesi Townhall Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), di sini.

Tambah beliau, melalui pindaan tersebut, ia akan lebih mematangkan mahasiswa dalam mengurus dan melakukan aktiviti dalam kampus.

Mengenai garis panduan yang akan ditetapkan pula, Datuk Seri Khaled menyatakan proses tersebut akan melibatkan pertubuhan pelajar dan pihak pengurusan universiti sahaja.


(Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin ditemui pemberita pada sidang media
selepas Majlis Sesi Townhall Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU))

Media Baharu