PAPAR, 3 Mei: Keperluan untuk menambah Kolej Komuniti khususnya di daerah pedalaman negeri Sabah dan Sarawak termasuk mempertimbangkan penambahan fasiliti tambahan seperti asrama akan diteliti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya melihat ada keperluan untuk mempertimbangkan perkara terbabit selepas melawat Kolej Komuniti Beaufort Februari lalu.
“Kita akan melihat dari segi keperluan yang berkaitan dengannya. Seperti saya sebutkan sebelum ini juga, semasa saya mengadakan lawatan ke Kolej Komuniti Beaufort untuk melihat keperluan itu, kita menyedari bahawa ada keperluan di Sabah dengan menyediakan fasiliti yang lengkap.
“Ini termasuklah dari segi asrama, walaupun dari segi dasar Kolej Komuniti tidak ada sediakan asrama.
“Namun dalam konteks di Sabah dan Sarawak, kita memikirkan supaya disediakan ini, diperkemaskan terlebih dahulu bagi Kolej Komuniti yang sedia ada.
“Untuk perancangan di masa akan datang, kita akan melihat dari segi keperluan di kawasan tempatan itu kerana dasar kerajaan, kita mahu pastikan supaya Kolej Komuniti itu dijadikan tempat untuk menyediakan tenaga manusia di kawasan berkenaan,” katanya selepas Majlis Perasmian Kolej Komuniti Papar @ Sabah Digital Academy, semalam.