GUA MUSANG, 21 April - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengambil tindakan terhadap pentadbir sekolah susulan kejadian seorang pelajar rebah dan kemudian meninggal dunia ketika menyertai aktiviti merentas desa sekolah.
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata, acara larian merentas desa yang dilaksanakan Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini mengikut garis panduan sedia ada.
"Tindakan kepada pentadbir sekolah. acara merentas desa dilaksanakan mengikut garis panduan sedia ada jadi tak timbul tindakan kepada pentadbir sekolah lah," kata Azman kepada pemberita selepas Program Jelajah Pendidikan Madani Sekolah Murid Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini.
Azman mengulas insiden seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar yang merupakan pesakit jantung berlubang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa, Jumaat lepas.
Pelajar berkenaan Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14 tahun rebah kira-kira 50 meter sebelum ke garisan penamat bagi acara larian itu kira-kira 9.30 pagi.