KLUANG, 6 Februari- Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan semua sekolah di seluruh negara, melaksanakan sistem satu sesi, menjelang tahun 2030.
Perkara tersebut berikutan pelbagai isu dibangkitkan termasuk, sekolah padat, kekurangan guru, sekolah daif dan pembinaan sekolah baharu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, untuk memastikan sasaran itu dapat dicapai.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kira-kira 9,000 sekolah di negara ini sudah mula menggunakan sistem satu sesi, daripada keseluruhan lebih 10,000 sekolah.
"Memang menjadi hasrat kita untuk sekolah ini menjadi satu sesi sahaja bagi mencapai maksud dan hasrat kita bahawa sekolah itu adalah sekolah yang kondusif untuk anak-anak.
"Jadi insya-Allah mudah-mudahan kita berhasrat untuk melihat lebih banyak lagi sekolah melaksanakan satu sesi dan ini adalah perkembangan yang baik dalam pendidikan,' katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas program Intan Minister's Conversation: Pendidikan Menyemai Kepimpinan, Membentuk Generasi Hadapan di INTAN Kampus Wilayah Selatan, di sini.
Sehingga Disember lalu sebanyak 8,997 buah sekolah atau 87.9 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di Malaysia telah melaksanakan sistem satu sesi, bagi meringankan beban guru.