fb fb fb fb fb

Helikopter terbakar di Bentong, jurutera warga Indonesia maut

Foto JBPM

KUALA LUMPUR, 6 Februari -Seorang jurutera warga Indonesia maut, manakala juruterbang helikopter juga warga Indonesia terselamat selepas sebuah helikopter jenis Bell 206 L4 melakukan pendaratan kecemasan bagi tujuan pengisian bahan bakar.

Kejadian berlaku di lokasi berhampiran Kolam Air Panas, Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, pagi tadi.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman, ketika mendarat, helikopter tersebut hilang kawalan dan terbalik menyebabkan jurutera itu terbunuh, dipercayai terkena bilah kipas helikopter.

Menerusi kenyataan di Facebook Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang menjelaskan, juruterbang helikopter terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan mangsa terselamat telah dibawa ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut. Helikopter berkenaan dilaporkan terbakar serta musnah 100 peratus.

Penyelamat Bentong dengan kekuatan lima pegawai bersama satu unit Fire Rescue Tender (FRT) tiba di lokasi kemalangan kira-kira 10.52 pagi, setelah menerima panggilan kes kebakaran dari balai Bomba dan Penyelamat Bentong.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berasingan mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut yang berlaku berdekatan tapak projek TNB di kawasan Bentong.

Susulan itu, TNB telah mengarahkan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua yang turut terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di tapak projek tersebut.

TETITIA YUSOFF