KUALA LUMPUR, 6 Februari - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tidak lagi menjadi penyedia tunggal bagi pemeriksaan kenderaan, sebaliknya akan dibuka kepada syarikat lain bagi meningkatkan persaingan serta mutu perkhidmatan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, beberapa syarikat pengendali baharu akan diumumkan esok, sekali gus akan menamatkan dasar monopoli dalam sistem pemeriksaan kenderaan di Malaysia.
"Saya akan umumkan di Kementerian Pengangkutan beberapa pemain baru dalam industri pemeriksaan kenderaan ini, kita mengharapkan apabila kita membuka pasaran ini adanya persaingan daripada segi perkhidmatan ia akan meningkatkan lagi mutu pemeriksaan kenderaan.
"Supaya kita sama-sama pastikan integriti pemeriksaan kenderaan ini dapat dipertingkatkan," kata Loke ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, di Dewan Rakyat.