fb fb fb fb fb

KPM proaktif pastikan projek pembangunan sekolah daif disegerakan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek

LABUAN, 26 Januari- Sebanyak 693 daripada 1069 pembangunan sekolah daif di seluruh negara berjaya diselesaikan sepanjang tahun lepas khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) proaktif dalam memastikan projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah seluruh negara dapat disegerakan melalui pelaksanaan projek diterajui bersama Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR).

"Pembangunan, pendidikan mesti kita jadikan ia sebagai satu usaha yang berterusan. Kita telah mulakan fokus kepada pembangunan sekolah daif, kemudian infrastruktur itu berjalan secara berterusan, kemudian kita tumpukan kepada dasar pendidikan digital, reformasi pendidikan.

"Pada tahun ini kita terajui agenda besar khususnya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), English, digital dan prasekolah. Sekolah daif pada tahun 2023, saya fikir itu antara kejayaan terbesar kita, kebanyakannya telah pun selesai khususnya di Sabah dan Sarawak", katanya dalam program Penyerahan Peranti Digital Kementerian Pendidikan Malaysia, Sumbangan Murid Yatim Dan Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2024 bertempat di SMK Labuan.

Seramai 230 pelajar menerima Peranti Digital sumbangan Yayasan Didik Negara. Ia bagi memastikan para pelajar tidak terpinggir dalam usaha KPM memartabatkan pendidikan pendigitalan negara.

Turut diberikan replika cek bantuan awal persekolahan kepada 28 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan yang bernilai lebih RM 2.3 juta.

Peruntukan itu melibatkan seramai 15,567 murid sekolah rendah dan menengah dari tahun satu hingga tingkatan lima atau yang setaraf dengannya pada sesi persekolahan 2024/2025.

Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan Dato’ Indera Dr Suhaili Abdul Rahman.

Sementara itu, berkenaan tular di media sosial berhubung pihak sekolah memotong Bantuan Awal Persekolahan RM150 yang diberikan oleh kerajaan untuk bayaran Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan koperasi sekolah, Fadhlina menjelaskan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
 
"Tidak boleh, bantuan awal persekolahan yang kita berikan berjumlah RM150 memang untuk ibu bapa. Sekolah tidak boleh potong dan ambil sesuka hati dari wang tersebut. RM150 itu mesti diterima oleh ibu bapa secara penuh dan digunakan untuk pemberian dan persiapan sekolah. 

"Jadi, kita minta mana-mana ibu bapa yang dipotong itu laporkan terus kepada kita supaya ia boleh disemak kenapa ia dipotong dan sebagainya. Kalau mengikut garis panduan tidak boleh potong, ibu bapa semua berhak menerima RM150 tanpa mengira sebarang latar belakang ekonomi mereka, semua ibu bapa anak-anak mereka layak terima", katanya.

 

ROSLINA BINTI DIN