fb fb fb fb fb

Agong berkenan Solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan Solat Jumaat yang diimamkan Pegawai Agama Istana, Datuk Munir Md Salleh di Surau Utama Istana Negara hari ini/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Januari - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah di Surau Utama Istana Negara.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 1.27 tengah hari disambut Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail. 

Sejurus tiba, baginda berkenan menunaikan solat sunat sebelum mengikuti Khutbah Jumaat bertajuk "Digarhayu Tuanku Jasa Tuanku Tersemat Di Kalbu".

Khutbah Jumaat disampaikan pegawai agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh yang turut mengimamkan solat.

“Sepanjang bersemayam atas takhta kerajaan Malaysia, Tuanku telah menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, termasuk kemelut politik yang melanda tanah air.

“Selama hampir lima tahun, begitu banyak jasa dan sumbangan telah baginda curahkan yang pastinya menyentuh jiwa dan sanubari kita, para rakyat jelata di seluruh pelosok negara,” kata Munir.

Usai menunaikan solat, Baginda Tuanku berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah. 

GRACE AISYAH KEDAYAN