fb fb fb fb fb

Mayat kedua insiden tanah runtuh di Cameron Highlands ditemukan

Mayat kedua mangsa tanah runtuh Batu 54, Blue Valley Cameron Highlands ditemukan pada pukul 12.05 tengahari tadi

CAMERON HIGHLANDS, 26 Januari- Mayat kedua mangsa tanah runtuh Batu 54, Blue Valley Cameron Highlands ditemukan pada pukul 12.05 tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli mengesahkan mangsa seorang lelaki dewasa.

Mayat ditemukan pada jarak 10 meter daripada lokasi asal runtuhan.

“Satu mangsa lelaki telah ditemukan sekitar 5.40 pagi, sehingga pukul 9.00 pagi operasi mencari dan menyelamat empat lagi mangsa sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bomba.

"Baru sekejap tadi saya dapat maklumat yang seorang lagi mangsa telah ditemui di tempat kejadian”, katanya ketika sidang media di lokasi insiden.

Beliau turut memaklumkan pihaknya berdepan kesukaran mengeluarkan baki mangsa kerana jentera berat tidak boleh dibawa masuk ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, PgKB I Ismail Abdul Ghani memaklumkan operasi mencari dan menyelamat dibahagikan kepada empat sektor.

Mayat pertama ditemukan di Sektor B, manakala mayat kedua di Sektor C.

Fokus pencarian ketika ini di Sektor B dan C kerana pihaknya menjangkakan mayat kesemua mangsa berada berhampiran antara satu sama lain.

ROSLINA BINTI DIN