KOTA BHARU, 9 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan pelajar Malaysia yang tinggal di kawasan sempadan agar terus menetap di asrama bagi menjamin keselamatan mereka susulan kejadian letupan dan tembakan di Sungai Golok, Thailand yang mengakibatkan dua kematian semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya sentiasa menitikberatkan soal keselamatan pelajar serta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi di sempadan.
“Kita telah ambil tindakan awal, antaranya memastikan mereka tinggal di asrama atau rumah saudara mara yang boleh kita jamin keselamatan mereka. Maknanya, mereka tak perlu melintas sempadan.
"Tindakan itu telah diambil di peringkat sekolah bagi anak murid di bawah KPM. Kita juga sedang mengkaji bagaimana anak-anak sekolah rendah ini boleh ditempatkan di asrama bagi menjamin keselamatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jaulah Ramadan KPM di Sekolah Menengah Agama Naim Lilbanat, di sini.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menegaskan KPM tidak akan berkompromi dengan penjualan makanan yang membahayakan kesihatan pelajar di kawasan sekolah.
Menurutnya, langkah kawalan akan diperketatkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan makanan berbahaya tidak mudah didapati di luar premis sekolah.
“Kita ambil perhatian penuh untuk memastikan kerjasama di peringkat pengetua dan guru besar bagi berbincang dengan PBT serta KKM supaya makanan seperti ini dapat ditangani.
"Kita tidak mahu ia didapati dengan mudah di luar premis sekolah. Dalam sekolah, kita boleh jamin tak ada,” katanya.
Semalam, media melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan segera diambil terhadap penjualan produk gula-gula berbentuk seperti rokok dan peranti rokok elektronik (vape), termasuk pengharaman penjualannya.
Pegawai Pendidikan CAP, Encik N. V. Subbarow, menyatakan penjualan gula-gula berbentuk rokok itu memberi kesan negatif kepada pelajar kerana ia boleh mendorong mereka untuk terjebak dalam kegiatan merokok dan menghisap vape pada usia muda.