PUTRAJAYA, 9 Mac – Wisma Putra terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan ikhtiar Kerajaan MADANI bagi meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan tersebut dapat dilihat menerusi lawatan beliau ke luar negara, termasuk ke negara-negara anggota ASEAN, yang memperlihatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.
"Terima kasih kepada warga Kementerian Luar kerana dapat mengangkat ikhtiar dan usaha yang membanggakan serta dibebankan dengan tugas yang jauh lebih besar berbanding beberapa tahun sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Luar, di sini.