fb fb fb fb fb

KPM laksana penandaan opsyen mata pelajaran tangani isu kekurangan guru

BATU PAHAT, 27 Ogos - Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha untuk menyelesaikan isu kekurangan guru secara berperingkat dengan melaksanakan Penandaan Opsyen Mata Pelajaran Guru bagi beberapa subjek teras di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata ini susulan KPM hanya mengambil 15 guru untuk subjek major Bahasa Cina bagi tahun 2023.

Katanya, angka itu sebahagian daripada 600 guru pelatih yang mengikuti pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

“Hakikatnya, kekurangan guru bukan sahaja berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) malah berlaku di Sekolah Kebangsaan.

“KPM kini sedang giat berusaha untuk melaksanakan proses penandaan opsyen mata pelajaran pengajaran para guru khususnya bagi SJKC dan SJKT di seluruh negara demi mendapatkan data guru mengikut mata pelajaran yang tulen serta komprehensif.

“Usaha ini sangat mustahak bagi mengenal pasti dan menangani isu lebihan guru bagi opsyen Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan kekurangan guru dalam opsyen lain. 

“Melalui proses penandaan ini, kementerian dapat mengenal pasti isu-isu keperluan opsyen guru di SJKC dan SJKT dengan lebih terperinci dari aspek lebihan keperluan opsyen, serta tindakan susulan yang perlu diambil,” kata beliau ketika berucap pada majlis lawatan kerja ke SJKC Cheng Siu 1 & 2, di sini pada Ahad.

(Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying/FOTO PPD Batu Pahat)



Tambah beliau, KPM telah selesai proses penandaan opsyen mata pelajaran pengajaran di 6 negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah serta Perlis, dan seterusnya akan diadakan di Johor pada 7 September depan.

“Saya berharap dengan usaha proses penandaan opsyen mata pelajaran akan memberikan data guru mengikut mata pelajaran yang tulen demi menambah baik unjuran pengambilan guru pelatih bagi tahun depan,” katanya.

Setakat 31 Januari lalu sebanyak 19,431 kekosongan melibatkan guru iaitu kira-kira 4.49 peratus.

Kekosongan berlaku berikutan dari persaraan wajib guru, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

Media Baharu