fb fb fb fb fb

NGO bukan Islam tidak perlu bimbang Modul Hadis 40 Imam Nawawi - Hui Ying

BATU PAHAT, 27 Ogos - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam di negara ini tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Hui Ying berkata, Kementerian Pendidikan sentiasa terbuka untuk bertemu mana-mana pihak sekiranya masih keliru dengan pelaksanaan modul itu.

"Ya, mereka (NGO) tak perlu risau. Tapi saya memang faham kerisauan mereka. Tapi kami mengalu-alukan mereka untuk berbincang dengan kami sekiranya mereka mempunyai sebarang persoalan yang mereka tidak faham atau sedikit keliru. Jadi kita (KPM) mengalu-alukan kedatangan mereka ke KPM untuk buat libat urus. Kita bersedia untuk berdepan atau bertemu dengan mereka.

"Kita boleh selesaikan. Ini hanya satu kekeliruan sahaja. Memang hadis 40 saya rasa semua pun tahu, ini memang untuk murid-murid dan guru yang beragama Islam sahaja," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerjanya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng Siu 1 & 2 di Batu Pahat, Johor di sini pada Ahad.


(Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menyerahkan replika cek kepada SJKC Cheng Sui 1 di Batu Pahat, Johor)

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang mempertikaikan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam.

Bagaimanapun, beliau berharap modul itu tidak dilaksanakan kepada pelajar yang bukan beragama Islam.

Pada 26 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masyarakat bukan Islam di negara ini diminta memahami kepentingan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.

Anwar berkata pelaksanaan modul itu berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, pada masa depan.

Susulan itu, beliau berharap isu tersebut tidak diungkit khususnya oleh wakil-wakil masyarakat bukan Islam di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN:
Himpunan 40 hadis untuk umat Islam dilaksana tahun depan
PM minta Koleksi Hadis 40 Imam Nawawi diedar semula ke sekolah

Media Baharu