(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 21 Jun- Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan kesinambungan pendidikan untuk pelajar yang tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, kementerian akan meneliti bentuk kerjasama yang akan dilakukan bagi tujuan itu menerusi Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Usaha berkenaan termasuk kolaborasi bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).
"KPM akan meneliti bentuk kerjasama dengan kementerian lain agar laluan pendidikan TVET dapat disediakan kepada murid yang tidak menduduki SPM.
"KPM yakin kementerian lain akan menyediakan bentuk pembiayaan bagi memudahkan pelajar untuk menyertai program tersebut," katanya di Dewan Negara di sini.
Seramai 14,858 atau 3.8% daripada 388,832 calon SPM 2022 tidak hadir peperiksaan.
Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir bagi SPM 2022 meningkat berbanding 2021 yang merekodkan 10,681 calon daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar.
(Lim Hui Ying)