KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Kementerian Pendidikan (KPM) komited melaksanakan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan pembelajaran yang lebih berteraskan nilai, seimbang dan selaras dengan keperluan era digital.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, teguran Perdana Menteri berhubung “kecacatan” dalam sistem pendidikan menjadi peringatan penting kepada kementerian dalam memperkukuh asas pembentukan karakter dan nilai kemanusiaan.
“Ia adalah peringatan yang sangat penting apabila kita sedang mempersiapkan satu reformasi pendidikan yang akan menjawab kebimbangan yang disebut oleh Perdana Menteri. Pendidikan karakter akan menjadi tunjang daripada prasekolah hingga ke sekolah menengah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa reformasi pendidikan bukan sekadar perubahan kurikulum, tetapi usaha membina tamadun yang memanusiakan insan.
“Pendidikan manusiawi ini bukan hanya soal kurikulum, tetapi membina nilai. Namun dalam masa yang sama, perkara ini harus dilihat dalam konteks yang lebih luas. Sebab itu, pendidikan karakter walaupun menjadi sebahagian daripada kokurikulum, ia mesti disokong dan didukung oleh ibu bapa juga,” katanya.
Dalam konteks Belanjawan 2026, KPM turut memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem pendidikan digital melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital, platform DELIMa, latihan Guru Jauhari Digital serta inisiatif baharu AI-PAUT Classroom yang menyokong aspirasi Perdana Menteri untuk memperkasa kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan.
Beliau turut menegaskan bahawa akses pendidikan luar bandar kekal menjadi keutamaan kementerian, termasuk menaik taraf sekolah daif dan memperluas bantuan persekolahan agar tiada pelajar yang tercicir.
“Pembangunan semula sekolah-sekolah daif ini akan memberikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dalam konteks pendidikan, khususnya bagi pelajar luar bandar.
“Kita kekalkan semua bentuk bantuan persekolahan sedia ada termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), bantuan makanan di peringkat prasekolah serta bantuan-bantuan am persekolahan lain. Secara keseluruhan, terdapat 18 bentuk bantuan yang menjadi sebahagian daripada sistem sokongan KPM bagi memastikan anak-anak, khususnya di luar bandar, terus mendapat manfaat,” katanya.
“Alhamdulillah, ini menunjukkan komitmen kita untuk memastikan anak-anak tidak terjejas dalam pendidikan mereka. Malah, kita turut merancang pembinaan kelas terapung khas untuk anak-anak masyarakat Orang Asli, di samping meneruskan agenda reformasi pendidikan agar jurang antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan, insya-Allah,” tambah beliau.
Belanjawan 2026 dilihat mampu memperkukuh hala tuju pendidikan negara ke arah sistem yang lebih bersepadu , berasaskan nilai, teknologi dan kemanusiaan , bagi melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi cabaran global.